Kewujudan gua batu kapur dilihat mampu menambah bilangan lokasi destinasi pelancongan di Merapoh selain tumpuan pelawat domestik dan pelancong luar ke Taman Negara Sungai Relau. Adun Padang Tengku, Datuk Mustapa Long berkata, gua berkenaan amat sesuai untuk kegiatan riadah dalam kalangan belia tempatan dan pelawat luar untuk eksplorasi membuat kajian geologi, sejarah dan mengenali batu kapur termasuk habitat hidupan di dalamnya.
 
“Kerajaan negeri memberi jaminan akan mengekalkan lokasi gua berkenaan, Taman Negara Sungai Relau dan santuari Ikan Kelah Sungai Juram sebagai destinasi pelancongan sekali gus memberi manfaat penduduk menambah pendapatan menerusi pemasaran dalam sektor berkenaan,” katanya di sini, kelmarin.
 
Mustapa berkata, antara gua yang menarik serta mencabar sesuai untuk kegiatan riadah dan rekreasi ialah Gua Jinjang Pelamin, Gua Anak Jinjang, Gua Seribu Cerita, Gua Kelopak, Gua Katak, Gua Bilah, Gua Hanuman, Gua Hantu Menari, Gua Kalong, Gua Sisik Naga, Gua Tahi Bintang, Gua Air Mata Dayang, Gua Hari Malaysia dan puluhan gua yang lain.
 
“Perjalanan merentasi denai dan hutan Taman Negara Sungai Relau sebelum memasuki kawasan kaki gua batu kapur juga menyajikan keindahan alam sekitar yang jarang terdapat di destinasi percutian lain.
 
“Apatah lagi, sepanjang laluan berkenaan pelawat akan menemui pelbagai spesies tumbuhan, serangga dan jika bernasib baik dapat melihat bunga Pakma atau Rafflesia di hutan tropika Taman Negara Sungai Relai,” katanya.
 
Sumber: Sinar Online