Kampung Merapoh yang telah dibuka sekitar tahun 1929 merupakan “gate-way” ke negeri Kelantan melalui Jalan Lipis-Gua Musang.Ada beberapa versi bagaimana kampung ini mendapat nama.  Versi pertama, seperti yang disebut oleh Haji Aziz bin Aki Mohamad, bahawa nama “Merapoh” dihubungkan dengan kewujudan sepohon pokok “rapoh” yang ditemui oleh sekumpulan orang Asli ketika mereka mencari rezeki di hutan-belantara. Versi kedua, nama “Merapoh” berdasarkan kisah kehidupan penduduk orang Asli yang terdedah kepada ancaman binatang buas. Ada di antara mereka yang telah menjadi mangsa harimau. Apabila ditanya bagaimana harimau membaham mereka, lalu mereka menjawab, “rapoh sungguh binatang tu membaham kami”. Manakala, versi ketiga, asal nama “Merapoh” ini dikatakan berdasarkan keadaan kawasan ini yang dipenuhi “repoh” (kayu kecil).
 
        Seperti juga tempat-tempat lain di Ulu Pahang, sebelum Merapoh menjadi sebuah perkampungan tradisional Melayu, kawasan tersebut telah didiami oleh orang Asli.   Sejak 11,000 tahun yang lalu, sekumpulan manusia primitif dari daratan Asia yang disebut “orang Mesolitik”, yakni orang Asli yang kini dikenali sebagai etnik “Negrito” dan “Senoi” sudah pun mendiami Ulu Pahang. Namun begitu, penghijrahan orang Melayu terawal di Ulu Pahang hanya berlaku kira-kira 2,000 tahun yang lalu, apabila “orang Melayu-Pesisir” atau disebut juga “Melayu-Jati” (Deutro-Malay) mula membuat petempatan di tebing-tebing Sungai Jelai, dan Sungai Lipis sehingga ke kemuncaknya, termasuk anak-anak sungai, dan sebahagian mereka lagi telah membuat kediaman di daratan.
 
       Penemuan awal kawasan repoh ini dikatakan berpunca daripada kisah Dato’ Panglima Sam dari Kampung Dusun, Kecau (Lipis) yang suka berburu di hutan sehingga melewati kawasan yang akhirnya diberi nama “Merapoh”.  Kesesuaian kawasan dan kesuburan tanah ini menyebabkan beberapa orang penduduk Kecau seperti Haji Mat Piah, Haji Mat Samad, Aki Long, Aki Amin dan Aki Mohamad berminat untuk meneroka kawasan tersebut. Penghijrahan awal ini kemudian disusuli pula oleh sekumpulan keluarga keturunan Minangkabau dari Kampung Telang seperti Pawang Akub, Awang Bakri, Tok Mat Ayat, Tok Pawang De, dan Tok Minangkabau. Keturunan orang-orang Minangkabau ini, kemungkinan besar mereka merupakan titisan warisan kumpulan orang-orang Minangkabau (Sumatera) yang memasuki Jelai (Ulu Pahang) serentak dengan zaman pembukaan Jelai oleh nenek moyang Seri Maharaja Perba pada abad ke-16M, yakni pada zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah (Sultan Pahang VI, 1530-1545 - zuriat langsung Raja Melaka).
   
         Sungai Merapoh merupakan nadi kehidupan masyarakat Kampung Merapoh ketika itu.  Sebahagian besar mereka yang tinggal di tebing Sungai Merapoh bukan sahaja menggunakan sungai ini sebagai sumber minuman dan mandi, tetapi juga sebagai sumber rezeki.  Kegiatan ekonomi utama penduduk Merapoh ialah “padi sawah”, di mana tanah di daratan Sungai Merapoh amat subur, dan sesuai untuk penanaman “padi”. Untuk mendapatkan bekalan air bagi penanaman padi, semua penduduk kampung bersama-sama bergotong-royong membina “empangan” pada tahun 1932.  Menurut Haji Aziz Mohamad, empangan dan tali air ini kemudiannya diperbesarkan oleh kerajaan British, dan dirasmikan pembukaannya oleh almarhum Sultan Abu Bakar (Sultan Pahang) dengan mengorbankan beberapa ekor kerbau (1937).   Di samping itu, semasa pembukaan awal kampung ini, sebuah “masjid” juga telah dapat dibina hasil titik peluh penduduk kampung.
 
            Kejayaan pembukaan kampung ini pada umumnya bukan sahaja disebabkan pertalian keluarga dan ukhwah Islamiah yang erat di kalangan penduduk tempatan, tetapi turut diperkuatkan dengan kewibawaan kepimpinan Haji Zakaria bin Mat Piah, selaku Penghulu Merapoh yang terawal.  Kini (2009) kampung yang sudah berusia sekitar 80 tahun terus menikmati arus kemajuan di bawah Pelan Pembangunan Negeri Pahang. 

Kampung Merapoh merupakan sebuah perkampungan  yang damai  dan penuh kehijauan flora dan fauna yang mana terletak di mukim Batu Yon 2, daerah lipis, Pahang Darul Makmur. Di dalam kampung merapoh terdapat 7 rangkaian kampung lain iaitu kampung Tagang, Kampung Salak, Kampung Tepi Parit, Kampung Kubang Tengah, Kampung Kumbang Hilir, Taman Berkat dan RPS Merapoh. Dari segi geografinya , Kampung Merapoh terletak di sebelah utara Pahang. Kedudukannya adalah bersebelahan dengan sempadan negeri  Kelantan iaitu Cuma 25 kilometer sahaja dari Bandar Gua Musang. Manakala jarak  dari Bandar Kuala Lipis pula adalah sejauh 98 kilometer. Bagi sesiapa yang mempunyai destinasi dari Kuala Lumpur ke Kelantan melalui Jalan Lipis-gua musang, pasti akan melalui kampung merapoh kerana Lokasi kampung ini  terletak  di tengah-tengah perjalanan jalanraya   Kuala Lumpur - Kelantan yang mana jarak dari Kuala Lumpur adalah 250 kilometer, manakala jarak dari Kota Bharu, Kelantan adalah 225 kilometer. Kampung ini adalah merupakan ‘ gate-way’ ke Kelantan melalui jalan Lipis-Gua Musang. Lokasinya yang terletak di pertengahan perjalanan antara Kuala Lumpur dan Kelantan ini telah menyebabkan kampung ini menjadi tempat persinggahan/istirehat bagi  para pemandu kenderaan untuk berehat sebelum meneruskan semula perjalanan.

MAKLUMAT KG MERAPOH:

DAERAH:

Lipis

MUKIM:

Batu Yon 2

MAKLUMAT PARLIMEN

PARLIMEN:

Lipis

AHLI PARLIMEN:

Yb. Dato Abdul Rahman B. Mohamad

MAKLUMAT DEWAN UNDANGAN NEGERI (DUN)

DUN:

Padang Tengku

AHLI DUN:

Yb. Dato Mustafa bin Long

PEGAWAI DAERAH:

Dato' Mohd Hafizi Bin Ibrahim

PENGHULU MUKIM:

- En. Mohd Rizal Bin Mohd Nor

MAKLUMAT PENTADBIR KAMPUNG

PENGERUSI JKKK/JKKKP:

En. Mohd Podzi Bin Mat Salleh

JAWATAN LAIN DISANDANG:

Pengerusi Masjid Merapoh

NO. TEL. RUMAH:

-

NO. TEL. BIMBIT:

017-9166609

EMAIL :

Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

SURAT- MENYURAT:

Taman Berkat, Merapoh, 27210, Kuala Lipis,Pahang Darul Makmur.